Potato Spring, Spring Potato, Twist Potato, Tornado Potato, Spiral Potato, Kentang Spring - KentangSpring.com

13 Ogos, 2010

Pengurusan Kewangan

Menurut suatu kajiselidik yang dijalankan oleh Citibank pada bulan Oktober 2008 di Malaysia, 37% para responden merasakan dengan kedudukan kewangan mereka tergugat, manakala 21% para responden lagi menyatakan wang simpanan mereka hanya mampu bertahan selama 1 (satu) bulan sahaja, sekiranya diberhentikan kerja.


Secara puratanya, rakyat Malaysia hanya mempunyai wang simpanan yang dapat bertahan selama 11 minggu sahaja.

Lebih daripada 60% responden menyatakan, mereka menyimpan 20% pendapatan bulanan (ini tidak termasuk 11% potongan gaji untuk wang simpanan KWSP)

Sejumlah 12% para responden, tidak menabung langsung.

Walaupun 86% para respoden menegaskan mereka cuba mengikut belanjawan, namun hanya 28% para responden dapat mengikut perancangan tersebut.

Ini jelas menunjukkan, perlunya suatu pengurusan kewangan dan cara hidup dalam kalangan pengguna di Malaysia, lebih –lebih lagi dalam kegawatan ekonomi yang melanda serata dunia.

APAKAH YANG DIMAKSUDKAN DENGAN PERANCANGAN KEWANGAN?

Perancangan kewangan adalah tentang mengurus kedudukan ekonomi/ kewangan seseorang individu dengan mengambil kira perkara – perkara yang ingin dilakukan seperti, berkahwin, membeli aset – kereta/rumah, merancang untuk mendapatkan anak serta perancangan pendidikan anak kita.

Melalui perancangan kewangan kita dapat mengenalpasti cara – cara membuat belanjawan, menabung dan membelanjakan wang dalam suatu tempoh masa yang tertentu.

SIAPAKAH YANG MEMERLUKAN PENGURUSAN KEWANGAN?

Sesungguhnya, setiap orang memerlukan pengurusan kewangan. Yakni, kita mempunyai pendapatan atau elaun, dan perlu berbelanja hampir setiap hari serta harus melaksanakan tanggungjawab masing-masing, dan turut mempunyai impian untuk dikejar, sama ada kita ialah :
* Pelajar
* Bekerja sendiri
* Pekerja
* Suri Rumah
* Bersara

MENGAPAKAH KITA MEMERLUKAN PERANCANGAN KEWANGAN?

Pada setiap fasa hidup kita, kita mempunyai kepentingan, tanggungjawab dan kehendak kewangan yang berbeza. Setiap peringkat hidup memberikan kita peluang dan cabaran yang berbeza. Apabila hidup kita berubah, maka kehendak dan keperluan hidup kita turut berubah. Perancangan kewangan membekalkan diri kita untuk menghadapi peluang dan cabaran hidup.

Perancangan kewangan dapat membantu kita memperbaiki tahap hidup kita; serta mengecapi kepuasan berbelanja. Perancangan kewangan perseorangan turut membantu kita mengumpulkan harta dengan cara yang paling efisyen. Lantaran itu, perancangan ini turut menjamin kedudukan kewangan kita yang turut meningkatkan taraf hidup kita. Pokoknya, perancangan kewangan membekalkan kita idea untuk menguruskan kedudukan kewangan kita agar mencapai matlamat kewangan kita untuk memenuhi keperluan fan kehendak hidup kita

FAEDAH PERANCANGAN KEWANGAN

Perancangan kewangan merupakan satu proses yang dinamik yang memerlukan pemonitoran dan penilaian yang berterusan, agar anda dapat mengawal kedudukan kewangan anda. Perancangan kewangan yang persis dan tepat mampu menjanjikan anda mengecapi matlamat anda.

Tanpa satu perancangan yang sesuai, anda mungkin akan terpaksa menghadapi risiko seperti wang simpanan yang tidak mencukupi untuk menampung kos pendidikan, wang pendahuluan untuk pembelian rumah atau menanggung kos hidup selepas bersara. Pengurusan kewangan yang baik dapat membantu anda mencapai:

1. Mengatasi inflasi

Kedudukan ekonomi sesuatu negara bergantung kepada permintaan, maka kedudukan kewangan anda haruslah lebih tinggi daripada kadar inflasi negara.

2. Mengurangkan kadar cukai

Bayaran cukai pendapatan dapat dikurangan sekiranya anda mengunakan setiap cara/peluang yang ada sebaik mungkin untuk mendapatkan pengecualian cukai.

3. Menguruskan perbelanjaan yang lain – lain.

Sentiasa bersedia untuk menghadapi apa jua kemungkinan untuk berbelanja/kecemasan seperti sakit selain daripada mengharapkan perlindungan insurans.

4. Mencapai matlamat

Membiayai perbelanjaan Universiti anak – anak, dan melancong menunjukkan strategi pengurusan kewangan yagan terancang

5. Menanggung kos hidup selepas bersara

Pengurusan kewangan membolehkan kita mengekalkan cara hidup yang sama mahupun selepas bersara. Kemungkinan besar, memulakan satu tabung simpanan untuk menampung perbelanjanaan selepas bersara adalah perlu sebagai tambahan kepada KWSP.

6. Mengekalkan hubungan yang lebih baik – tidak perlu meminjam

Dapat mengekalkan hubungan yang lebih baik dengan keluarga, sahabat dan rakan sekerja, kerana anda tidak perlu meminjam atau mengharapkan bantuan kewangan daripada sesiapa.

7. Bebas daripada masalah kewangan

Disebabkan anda telah merancang aliran kewangan anda, menjangka perbelanjaan yang bakal dihadapi dan mencapai matlamat hidup anda.

8. Mengambil berat tentang orang yang anda sayangi.

Dapat mengurus dan merancang perbelanjaan hidup anda dan orang yang anda sayangi.

Mengapakah simpanan itu penting?

1. Simpanan kewangan boleh diibaratkan sebagai suatu transaksi perniagaan. Anda menukar ganti peluang anda untuk berbelanja sekarang dengan perbelanjaan yang bakal anda hadapi. Maka tujuan utama menabung adalah untuk menampung perbelanjaan mungkin anda hadapi. bak kata pepatah “sediakan paying sebelum hujan”.

2. Anda boleh menabung untuk pembelian aset atau untuk memberikan anda peluang berbelanja yang lebih fleksibel agar mencapai matlamat anda.

3. Berbelanja dengan berhemat dapat membantu kita menabung dengan lebih efektif. Sekiranya, jumlah pendapatan bulanan anda tidak menentu, anda boleh menyimpan sebahagian daripada pendapatan anda dari memyimpan suatu jumlah yang ditetapkan.

MENGURUSKAN KREDIT.

Apakah yang dimaksudkan dengan kredit?

1. Sekiranya anda berbelanja secara kredit, anda melepaskan peluang untuk berbelanja pada masa depan dengan berbelanja sekarang. Anda juga terpaksa berbelanja lebih daripada nilai sebenar kerana harus membayar faedah.

2. Perbelanjaan secara kredit mungkin merupakan satu kaedah perbelanjaan yang bijak sekiranya anda tidak berbelanja lebih daripada kemampuan anda.

3. Nilai aset tetap seperti rumah akan meningkat setiap tahun membentuk ekuiti.

4. Melabur wang untuk pendidikan atau latihan selalunya akan menjamim pulangan yang lebih baik.

5. Apabila mengunakan perkhidmatan secara kredit, pastikan anda tidak berbelanja lebih daripada 20 – 25% pendapatan bersih anda.

6. Anda boleh mendapat pinjaman daripada bank, Perbadanan Koperasi, polisi insurans nyawa, syarikat kewangan dan pendahuluan tunai melalui kad kredit.

7. Cuba elakkan diri daripada ‘Along’ dan agensi – agensi kewangan yang tidak berlesen.


Menguruskan kad kredit.

1. Pengunaan kad kredit merupakan salah kaedah meminjam yang paling mahal dimananya faedahnya adalah tinggi dan dikenakan yuran tahunan.

2. Cuba mengawal kos kad kredit anda dengan memilih kad kredit yang menawarkan faedah dan yuran tahunan yang kurang serta tidak mengenakan bayaran tinggi terhadap had kredit. Cuba mencari promosi kad kredit dimana anda tidak perlu membayar yuran tahunan.

3. Bayar hutang anda tepat pada masanya.

4. Langsaikan akaun tertunggak setiap bulan atau bayar lebih daripada amaun minimum yang ditetapkan.

5. Sila baca semua peraturan/arahan yang telah ditetapkan

6. Sila berbelanja mengikut perancangan awal anda. Praktikkan disiplin diri semasa berbelanja dengan kad kredit.


LANGKAH – LANGKAH DALAM PENGURUSAN KEWANGAN

Proses – proses yang terlibat dalam perancangan kewangan:-

1. Menilai semula kedudukan kewangan anda dengan meneliti pendapatan dan perbelanjaan.

2. Merangka target kewangan yang ingin dicapai.

- jangka masa pendek (membeli kereta) & jangka panjang (membeli rumah)

- bersifat realistik dan spesifik (cth: menabung RM 3000 dalam jangka masa 5 bulan)

3. Merangka belanjawan.

4. Menilai semula perancangan kewangan dan membuat pelan/langkah yang seterusnya

- Mengenalpasti keperluan dan kehendak anda

- membuat pilihan dan alternatif lain.

- Menangguh perbelanjaan yang kurang penting

5. Merancang aliran kewangan anda dan mengambil kira hal – hal yang harus didahulukan

- produk dan khidmat kewangan

- mengumpul harta

- menginsurans aset

- menguruskan hutang

- meneliti dan merancang cara pembayaran cukai

6. Meneliti dan menilai semula rangka kewangan

- bersandarkan kepada pengalaman anda


Asas insuran

1. Insuran membantu anda menguruskan risiko dengan mengurangkan kerugian kepada jumlah wang yang mampu anda tangani.

2. Untuk menginsurankan sesuatu; ia mestilah bernilai kepada anda dimana kehilangannya berpotensi menyebabkan anda mengalami masalah kewangan.

3. Insuran yang dibeli haruslah melindungi anda dan keluarga anda semasa dalam kesusahan yang mungkin menyebabkan anda mengalami masalah kewangan.

4. Terdapat dua jenis insuran iaitu untuk diri anda sendiri dan juga untuk aset anda.


Asas pelaburan

1. Pelaburan adalah satu cara yang selamat untuk mendapatkan pulangan. Anda akan memperoleh pulangan dari wang yang anda laburkan.

2. Biasanya, semakin tinggi potensi untuk mendapatkan keuntungan dalam pelaburan maka semakin tinggilah risiko yang terpaksa dihadapi. Untuk mengurangkan risiko tersebut, anda haruslah bijak mempelbagaikan pelaburan anda dari segi jenis pelaburan dan juga tahap risikonya.

3. Dalam membuat keputusan tentang pelaburan, anda perlulah mengambil kira tentang kedudukan kewangan semasa serta risiko dan juga keperluan keluarga anda.

TIP UNTUK MENINGKATKAN KEWANGAN ANDA

1. Sentiasa berbelanja mengikut bajet anda.

Bajet dapat membantu anda untuk mencapai impian kewangan yang anda impikan serta membolehkan anda bersedia menghadapi masa kesukaran yang tidak dapat dijangka.

2. Membayar hutang kad kredit.

Kita sering leka apabila menggunakan kad kredit ini kerana tidak berurus niaga dengan wang tunai. Namun kita haruslah berjaga-jaga, kerana untuk akaun tertunggak akan dikenakan faedah yang tinggi yang boleh mencecah sebanyak 13.5% setahun.

3. Mempunyai pelan simpanan.

Cuba memperuntukan sekurang-kurangnya 5% atau 10% dari gaji anda untuk simpanan sebelum membayar segala hutang anda.

4. Memaksimakan segala kemudahan yang disediakan oleh majikan.

Pemeriksaan kesihatan kadang-kala memerlukan wang yang banyak. Maka, kadang-kala agak berbaloi sekiranya anda mendapat kerja yang berpendapatan rendah yang memberikan kemudahan perubatan supaya tidak perlu memperuntukkan wang untuk membeli insuran yang mahal dan diluar kemampuan mereka.

5. Menilai semula perlindungan insuran anda

Polisi insuran anda mungkin bertindih-tindih maka anda perlulah memastikan yang anda tidak mempunyai dua insuran dalam satu masa. Cuba pastikan supaya anda tidak perlu membayar lebih untuk insuran anda. Perlu diingatkan satu insuran sahaja sudah memadai untuk melindungi segala kemungkinan yang berlaku.

6. Sentiasa kekalkan rekod yang baik.

Jika anda tidak kekalkan rekod kewangan yang baik kemungkinan besar anda tidak dibenarkan untuk menuntut cukai pendapatan anda. Pastikan anda merekod segala pemotongan cukai supaya anda peroleh kembali wang anda.

7. Berbelanja kurang dari apa yang diperolehi.

Berbelanja lebih daripada bajet atau di luar kemampuan yang akan mengakibatkan kedudukan kewangan anda tergugat amatlah tidak digalakkan lebih-lebih lagi masa kegawatan ekonomi.

Misalnya:- Jika anda tidak mampu membeli sebuah kereta Proton Perdana, ianya berbaloi membeli sebuah kereta Proton Waja dan bakinya boleh disimpan dan digunakan dimasa kecemasan

8. Mencari tawaran.

Terdapat banyak kilang yang menawarkan barang atau produk yang berkualiti serta harga yang lebih rendah. Anda juga boleh melayari laman web mereka yang mengiklankan berbagai tawaran dan diskaun sehingga mencecah 30%.

9. Jangan beli jika anda boleh meminjam/sewa.

Sesetengah buku boleh didapati di perpustakaan tanpa perlu dibeli dan sama juga seperti video yang boleh disewa di kedai video. Buku juga kadangkala dapat disewa di kedai buku dan anda tidak perlu bersusah payah untuk membeli dan membazirkan wang serta ruang untuk disimpan dirumah.

10. eSave dalam utiliti

Sesetengah perbelanjaan kadang-kadang tidak boleh dielakkan tetapi anda boleh mengurangkan perbelanjaan tersebut.Contoh :
- Telefon bimbit, jika anda menggunakan kad pra-bayar ia jauh lebih murah dari menggunakan talian kerana anda dapat mengehadkan penggunaan anda.
- Tidak menggunakan penghawa dingin dirumah boleh mengurangkan bil bulanan anda sebanyak RM80.
- Anda juga boleh menjimatkan penggunaan petrol dengan mengamalkan cara pemanduan yang berhemah di jalan raya.

Tiada ulasan: