1. ISLAM SECARA UMUM
Secara umumnya, Islam merangkumi Aqidah sebagai dasar dan prinsip, Syariat sebagai amalan dan tindakan kerja dan Akhlak sebagai hasil dan penyempurna kehidupan. Pembahagian ini sekadar memudahkan pengajian dan kefahaman, namun ketiga-tiga komponen ini saling berkait dan tidak boleh berpisah untuk melahirkan Islam yang sempurna dan lengkap. Pemisahan dalam pengajian bukan bererti mesti berlaku pemisahan sama dalam amalan dan tindakan kerana akidah tidak bererti tanpa bukti amalan syariat, dan akidah dan syariat tidak bermaksa tanpa akhlak. Manakala akhlak sahaja tanpa akidah dan syariat adalah rapuh dan tak bertahan kekal sampai ke akhirat. Perpaduan dan kesatuan akidah, syariat dan akhlak itulah dinamakan Islam. Islam itu indah, tetapi keindahannya tidak akan menyerlah sehingga ianya dilaksanakan dalam kehidupan….. Hayatilah !
2. MUAAMALAH DALAM ISLAM
Mu’amalah (Pengurusan Masyarakat & Harta) bermaksud urusan pergaulan hidup manusia yang melibatkan akad/ kontrak dan hak milik manusia. Ia meliputi perkara berikut :
Mu’amalat
• Jual beli
• Riba
• Salam/ Tempah
• Gadaian
• Qaradh
• Tanam Menanam
• Pengairan
• Mudharabah
• Syarikah/ Perkongsian Harta
• Sewa Menyewa
• Wakalah/ Penjagaan Harta
• Hiwalah/ Pindah Hutang
• Dhaman/ Jaminan
• Wadi’ah/ Serah Amanah Harta
• Pinjam Meminjam
• Hibah/ Pemberian
• Luqathoh/ Anak Buangan
• Wasiat/ Pusaka dll.
3. PENGENALAN HIBAH
Hibah merupakan permasalahan lama yang baru diwar-warkan. Kalimah ini tidak ada dalam fikiran dan ingatan masyarakat Islam sekian lama Di serata dunia. Untuk kefahaman masyarakat, istilah yang jarang kedengaran perlulah disebut-sebut dalam majlis rasmi dan tidak rasmi sehinggalah istilah tersebut basah di setiap bibir anggota masyarakat. Tetapi pendekatan yang paling berkesan ialah ‘pelaksanaan’ program hibah ini dan istilah yang belum difahami. Namun, kefahaman yang didahulukan dengan penjelasan yang bersistem yang kemudiannya disusuli dengan tindakan, tentu akan benar-benar berakar umbi ke dalam benak dan minda bawah sedar anggota masyarakat Islam. Hibah yang akan dibicarakan nanti adalah sebahagian daripada sistem ekonomi masyarakat Islam yang terlalu jauh daripada pandangan dan amalan masyarakat Islam itu sendiri, berbanding dengan zakat (fardhu), sedekah (sunat), hadiah (sunat), wakaf (sunat), wasiat (sunat – pelaksanaan wajib satu pertiga harta) dan sumbangan lain. Lantaran itu, adalah wajar perbicaraan tentang Hibah ini diketengahkan kepada masyarakat Islam dan bukan Islam untuk difahami dan dipraktikkan dalam kehidupan.
4. HIBAH DI SUDUT BAHASA
Hibah merupakan kalimah Arab yang memberi maksud ‘pemberian’. Di sudut bahasa, Hibah adalah pemberian yang tidak didahului oleh tuntutan hak, dan padanya (barang yang diberikan itu) ada kegunaan bagi orang yang diberikan. Mengikut pengertian ini, Hibah boleh jadi pada zat yang tertentu dan bukan zat tertentu.(1) Contoh ada ‘ain/ zat tertentu ialah mengurniakan/ memberi anak lelaki atau perempuan (lihat : surah al-Syuura/ 49), manakala contoh tiada ‘ain/ zat tertentu ialah mengurniakan rahmat (lihat : surah Aali ‘Imran/ 8). Disebut kepada pemberi hibah sebagai ‘Waahib’ (واهب), penerima hibah sebagai ‘Mauhuub lahu’(موهوب له) dan harta yang diberikan sebagai ‘Mauhub’ (موهوب) dan ‘Mauhabah’ (موهَبة).(2)
5. HIBAH DI SUDUT ISTILAH
Hibah di sudut istilah syara’ ialah : Memberi milik benda tanpa ganjaran/ gantian (al-Jurjaani). Atau :Hibah adalah memberi milik harta kepada orang lain tanpa ganjaran/ gantian (al-Majallah).(3)Penulis kitab al-Fiqh al-Manhajiy menyatakan : ‘Akad yang memberi faedah pemilikan ‘ain tanpa gantian, semasa hidup, secara sukarela.(4)
Kata Imam al-Raghib al-Ishfihani dalam bukunya ‘Mu’jam Mufradat Alfaz al-Qur’an’ : “الهبة أن تجعل ملكك لغيرك بغيرعوض ” yang bermaksud : “Hibah ialah anda menjadikan harta milik anda kepada orang lain tanpa gantian/ganjaran.” Sekian dipetik. Jika pemberi mengatakan, aku berikan kain ini dengan ganti beras itu, lalu dipersetujui oleh penerima, maka ini bukan hibah tetapi menjadi jual beli, meskipun disebut ‘beri/ hibah’.
6. PERUNDANGAN HIBAH DALAM ISLAM
Hibah dengan maksud umum itu adalah disukai, disaran dan digalakkan melalui al-Qur’an, al-Sunnah dan al-Ijma’.
1. Al-Qur’an : Surah An-Nisa’ ayat 4 : “dan berikanlah kepada perempuan-perempuan itu maskahwin-maskahwin mereka sebagai pemberian yang wajib. kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari maskahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat Yang lazat, lagi baik kesudahannya.”Selepas mas kahwin diserahkan – wajib – kepada para isteri, lalu isteri-isteri itu ‘memberi’ kembali dengan rela hati, maka pemberian itu bolehlah dimakankan dan halal bagi suami mengguna-pakai pemberian isteri-isteri itu.
2. Hadis : “Wahai wanita muslimat, jangan memandang hina seorang jiran akan pemberian seorang jiran yang lain, walau pun pemberian itu hanya ‘firsina syat’.” – al-Bukhori dan Muslim. ‘Firsina syat’ iaitu kaki kambing yang tidak berdaging.”Banyak hadis yang menyebut tentang hibah ini, antaranya ialah : “Kalaulah aku (Rasulullah s.a.w.) dijemput ke jamuan kaki hadapan atau kaki kecil, nescaya aku menyahutnya. Dan kalaulah aku dihadiahkan kaki hadapan atau kaki kecil, nescaya aku menerimanya.” – al-Bukhori.(5)
3. Ijma’ : Sesungguhnya telah sepakat ahli feqah Islam pada setiap zaman ke atas galakan melakukan hibah/ ‘memberi’ dengan segala jenis pemberian lantaran ianya adalah pintu kerjasama dalam kebajikan yang allah sarankan dalam al-Qur’an (lihat al-Qur’an : surah al-Maaidah/ 2)
7. RUKUN HIBAH
Rukun adalah teras yang menjadikan sesuatu itu mampu tegak dengannya dan akan runtuh tanpanya. “Rukun sesuatu ialah sudutnya yang sesuatu itu tenteram kepadanya, dan dipinjam untuk (maksud) kekuatan…… Dan ‘Arkanul ‘ibaadat’ (rukun-rukun ibadat) ialah penjuru-penjurunya yang mana di atas penjuru-penjuru itulah menjadi tempat binaan ibadat itu, dan dengan meninggalkan rukun-rukun ini terbatallah ibadat itu.” – ‘Mu’jam Mufradat Alfaz al-Qur’an’ oleh Imam al-Raghib al-Ishfihani.
Rukun hibah memberi maksud teras hibah yang mana tanpa teras ini hibah tidak akan terjadi atau dikatakan batal. Rukun hibah ada tiga sebagaimana rukun jual beli ada tiga. Rukun hibah ialah :1. Dua orang yang melakukan akad/ kontak iaitu Pemberi hibah dan Penerima hibah. Syarat bagi pemberi ialah :
1. pemilik sah barangan (benda yang dihibahkan)m maka tidak sah memberi sesuatu yang bukan miliknya seperti memberi kenderaan yang dipinjamnya.
2. orang yang berkelayakan memberi sumbangan, maka tidak sah kanak-kanak, orang gila, orang yang mengigau, dan sebagainya memberi hibah. Bagi kanak-kanak dan orang gila, penjaganya juga tidak berhak memberi hibah bagi pihak yang dijaganya.
3. bebas mengurus pada hartanya, maka tidak boleh memberi oleh mereka yang dihalang mengurus harta seperti orang yang diisytihar bangkrap dan orang yang dungu. Manakala syarat penerima hibah ialah : orang yang berkelayakan untuk memiliki harta yang diberi, maka boleh menerima hibah oleh orang gila dan kanak-kanak kerana mereka berkelayakan tetapi tidak boleh mengurus, namun penjaga yang menerima hibah itu bagi pihak mereka berdua. Walau pun begitu, bayi dalam kandungan tidak berkelayakan menerima hibah kerana belum mampu milik secara pilihan. Perlu diingatkan bahawa ‘kelayakan’ atau keahlian menerima harta berbeza dengan keahlian mengurus harta. Kanak-kanak layak menerima, tetapi tidak layak mengurus. Begitu juga orang gila, orang bankrap dan orang dungu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan